Wednesday 30 November 2011

SOALAN PERCUBAAN SPM 2011 DAERAH SIK KEDAH




Bahagian Satu
[40 markah]
Jawab semua soalan

1.      Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran;
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,                    
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Rumah runtuh awak menumpang.
                                                           
(Dipetik daripada Seuntai Kasih Secebis Harapan)


a)      Nyatakan jenis puisi di atas.                                                         [1 markah]
b)      Nyatakan tiga gaya bahasa yang terdapat di dalam puisi.            [3 markah]
2.

Maka keluarlah Tuan Puteri Ratna Sari serta diiringkan oleh menteri hulubalang rakyat sekalian. Maka naiklah tuan puteri ke atas kuda hitam berpelana emas dikarang berbagai-bagai itu. Maka berjalanlah tuan puteri keluar kota serta diiringkan semua rakyat serta tempik soraknya terlalu ramai. Maka tuan puteri pun berhadap dengan Raja Paksi Dewa.
                                                            (Dipetik daripada Hikayat Cendawan Putih)
 
a)      Apakah nama negeri yang diperintah oleh Raja Paksi Dewa?             [2 markah]
b)  Mengapakah Tuan Puteri Ratna Sari berhadap dengan Raja Paksi Dewa?   [2 markah]

3.

Maka titah baginda, “Wah, anakku mengapatah anakku berkata yang demikian kerana yang salah itu ayahanda juga ini melainkan ayahanda minta ampun banyak-banyak kepada anakku kerana aku juga yang berbuat aniaya kepada anakku…
                                                                                      (Dipetik daripada Hikayat Indera Nata)

a)      Siapakah ‘baginda’ dan ‘anakku’ dalam petikan di atas?                   [2 markah]

      b)  Apakah perkara yang telah dilakukan oleh ‘baginda’ sehingga perbuatannya
           dianggap menganiaya anakandanya sendiri.                                       
                                                                                                                        [2 markah]
4.
Kalau Kita Menjadi Kayu (Abdul Rahim Idris)

Kalau kita menjadi kayu
Biarlah jadi gaharu atau cendana
Wangi dan bernilai tinggi
Atau paling tidak
Jika terpaksa, cukuplah jadi kayu api
Asal punya harga diri.

Tetapi, jika mahu jadi kayu
Majal, keras dan padu
Seperti cengal, keruing atau meranti
Itu juga pilihanmu
Cuma, jangan pula nanti
Sampai sanggup jadi hulu
Yang rela diperkuda kapak
Hingga tergamak menetak
Kaum sendiri.
           
a)      Nyatakan dua gaya bahasa yang terdapat di dalam puisi di atas.                (2 markah)
b)      Nyatakan rima bagi kedua-dua rangkap sajak ini.                                        (2 markah)

5. Berdasarkan drama Bendahara Tepok, karya Shaharom Husain;
            a) Nyatakan perwatakan Bendahara Tepok.                                                   [2 markah]
            b) Siapakah pemerintah Kerajaan Melaka ketika itu.                          [2 markah]
6.

ROSEMERA: Begitulah ceritanya. Maka Kampung Baru kampung Melayu ini terus memburuk dan melayu. Janji akan lebih baru rupanya tambah bercelaru. Impian untuk maju jadi makin terharu. Harapan untuk jadi lebih tentu mula jadi buntu. Komuniti tikus tambah membiak dan semakin sihat, segar dan semakin membesar.
                                                  (Dipetik daripada Drama Muzikal Kampung Baru, karya Hatta
                                                   Azad Khan)

a)      Nyatakan masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk Kampung Baru. [2 markah]

b)      Nyatakan perwatakan Rosemera berdasarkan petikan drama di atas.              [2 markah]
7.

Tadi, dalam remang-remang pagi muda, cepat-cepat dia mengatur langkah. Hutan Lembah Dara Terbelah di pinggir kota itu menjadi destinasinya. Ketika itu sekujur badannya berasa seram sejuk. Seriau. Seluruh bulu romanya meremang. Jantung hatinya kencang berdegup dijentik debaran cemas dan takut yang berterusan.
                                                  (Dipetik daripada Cerpen Seekor Manusia Seorang Binatang,
                                                     karya Muhammad Isa al-Jambuli)

a) Siapakah ‘dia’ di dalam petikan?                                                    [1 markah]

            b) Apakah tujuan ‘dia’ ke Hutan Lembah Dara Terbelah?                 [1 markah]

            c) Nyatakan tema bagi cerpen ini.                                                       [2 markah]


8. Watak utama memainkan peranan penting untuk menggerakkan sesuatu cerita.
    Nyatakan watak utama dan perwatakan dalam cerpen Gersang karya Masniah Kalyubi.
                                                                                                                       [ 4 markah]


9.  
       Baca petikan di bawah ini dan jawab soalan berdasarkan petikan.

Syed Mustafa memandang Nek Siah. “Ada lagikah sekarang?” Tanyanya. “Tak ada lagi dah. Hutan dah dibuka untuk pembangunan. Banyak pokok sudah ditebang. Kalau ada pun, siapa hendak mengusahakannya. Banyak lagi makanan lain yang lebih dipandang orang.”
“Sayang,” balas Syed Mustafa, menggeleng-geleng perlahan. Wajahnya kesal.

                                 Dipetik daripada novel Jeriji Kasih karya Ramlah Abd Rashid
           


a) Apakah hubungan antara Nek Siah dengan Syed Mustafa?                            [ 2 markah]
b) Apakah teknik penceritaan yang digunakan dalam petikan novel di atas?                                                                                                                                                    [ 2 markah]
 
10.
Di surau itu dahulu diadakan majlis bubur asyura setiap tahun ketika tiba awal Muharam. Setiap penduduk kampung akan datang memeriahkan majlis itu secara bergotong-royong.  Ada yang membawa tepung, gula, kayu api, dan bermacam-macam lagi. Semuanya tidak perlu dibeli.

 
a.       Berdasarkan petikan novel Dari Lembah Ke Puncak, karya Ghazali Lateh;
Apakah nilai murni yang diamalkan oleh masyarakat dalam petikan di atas?  
[2markah]
b.      Berikan dua unsur Islam dalam petikan di atas.                                       [2 markah]


Bahagian Dua

[ 60 markah ]

Bahagian A
( Puisi Tradisional dan Prosa Klasik )

Jawab sama ada Soalan 1 atau Soalan 2

1. Baca puisi di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan berikutnya.
Syair Si Burung Nuri Satu
Gilang-gemilang cahaya mukanya,
Lemah lembut barang katanya,
Sekalian burung dalam hukumnya,
Tunduk hormat pada sekalinya.

Dilihat manikam kedua matanya,
Seperti jamrut konon bulunya,
Laksana mutiara akan kukunya,
Pusparagam warna jarinya.

Adalah khabar suatu cerita,
Nuri melangkah ke atas takhta,
Kepada Punai, Nuri berkata,
Tiadalah sedap rasa anggota.

Nuri berangkat lalu beradu,
Ditunggui oleh Burung Beladu,
Mimpi bersunting Cempaka Dadu,
Ia terkejut hatinya rindu.

Bangunlah tiada berkata-kata,
Tidur mashghul di dalam cita,
Sangatlah letih rasanya anggota,
Fikirkan mimpi tiada berita.
                                                            (Dipetik daripada Seuntai Kata Secebis Harapan)
a)      Huraikan maksud keseluruhan rangkap syair di atas.                         [10 markah]

b)      Huraikan lima gaya bahasa yang terkandung di dalam syair di atas berserta contoh.

          [10 markah]
2.      Berdasarkan Prosa Tradisional Hikayat Nakhoda Muda;
a)      Huraikan perwatakan Maharaja Johan Syah berserta contoh                   [12 markah]

b)      Nyatakan unsur-unsur didaktik yang terkandung di dalam Hikayat tersebut.
[8 markah ]

Bahagian B
(Puisi Moden dan Drama)

Jawab sama ada Soalan 3 atau Soalan 4.

3.    Baca sajak di bawah dan jawab soalan-soalan berikutnya.

Pulang (karya Adi Badiozaman Tuah)

Semalam kita dipertemu
Kurasa debar sejenak
Kita jalin persahabatan
Setia anak watan
Menguntum senyum
Berbunga tawa

Semusim kukembara
Sesaat teringat pertemuan di hujung musim
Seakan matamu berkata
Rerambut hitammu berbisik
Hatimu menyanyi:
Kawan
Terbanglah bersama beburung di gunung
Menarilah bersama
Riak ombak di laut

Kini aku mengerti
Padi menguning melambai pulang
Air kali berkocak rindu
Seruling senja sayu berlagu:
Pulang anak kembara pulang
Pulang pulang anak kembara pulang

Dik
Kukalung bintang kejora
Seketul mutiara
Segulung kertas bertinta emas
Buat dirimu dilamun rindu
                                                                                                (Dipetik daripada Madu Ilmu)


  a) Huraikan bentuk sajak tersebut berserta contoh.                                     [10 markah]

  b) Jelaskan lima gaya bahasa berserta contoh berdasarkan sajak tersebut.
                                                                                                                        [10 markah]






4.      Berdasarkan drama Dongeng Sang Puteri karya Wan Ahmad Ismail;

a)      Nyatakan enam latar masyarakat yang tergambar di dalam drama tersebut.

[12 markah]

b)      Huraikan nilai-nilai murni yang dapat diambil daripada drama ini.
[8 markah]



Bahagian C
(Cerpen dan Novel)

Jawab sama ada Soalan 5 atau Soalan 6.


5.      Berdasarkan cerpen Gelungnya Terpokah karya Shahnon Ahmad;

a)      Berikan tiga contoh peristiwa yang mencetuskan konflik dalaman antara Jusoh dan Berahim sehingga menyebabkan kedua-duanya saling bermusuhan.

                                                                                                                        [6 markah]

b)      Nyatakan lima citra masyarakat yang tergambar dalam cerpen ini.         [10 markah]

c)      Apakah yang terjadi kepada Jusoh di akhir cerita ini?                             [4 markah]



6.      Berdasarkan Novel Jeriji Kasih karya Ramlah Abdul Rashid, dan Novel Dari Lembah Ke Puncak karya Ghazali Lateh, jawab soalan-soalan berikut;

a)      Huraikan lima keistimewaan watak utama dalam Novel Jeriji Kasih karya Ramlah Abdul Rashid.
[10 markah]

b)      Huraikan lima pengajaran yang terkandung di dalam Novel Dari Lembah Ke Puncak, karya Ghazali Lateh.
[10 markah]






KERTAS SOALAN TAMAT

3 comments:

  1. Terima Kasih atas perkongsian. saya juga seorang guru sastera melayu. Semoga Allah memberkati saudara

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semoga Allah s.w.t memakbulkan doa saudara. Saya mendoakan tuan yang mulia juga mendapat keberkatan kerana sastera juga mampu menjadi medium mendidik masyarakat seperti yang dilaksanakan oleh sahabat Rasulullah s.a.w yang menggunakan syair bagi menangkis fitnah dan tohmahan musuh Allah. Kalau tuan sudi kita boleh berkongsi ilmu

      Delete
  2. Terima kasih sekalung budi. Perkongsianmu sangat dihargai. Semoga Allah merahmatimu sekeluarga di sini dan di mana-mana. Amin....

    ReplyDelete