Sunday, 16 June 2013

Hikayat Seri Kelantan



1.0  PENGENALAN
Hikayat Seri Kelantan merupakan cerminan daripada penduduk di negeri Kelantan. Malahan hikayat ini turut bermula dari negeri Kelantan atau dikenali sebagai negeri Cik Siti Wan Kembang. Kronologi hikayat ini memakan masa yang begitu panjang malah menjangkau ke luar negeri lain seperti Siam, Pattani dan lain-lain lagi. Hikayat Seri Kelantan ini bermula dengan seorang raja perempuan yang bernama Encik Siti. Encik Siti telah mengambil seorang anak raja Jembal yang bernama Tuan Puteri Sa’dong. Selanjutnya, berlakulah suatu peristiwa selepas Tuan Puteri Sa’dong berkahwin dengan Sultan Abdullah iaitu raja Siam inginkan Tuan Puteri Sa’dong tetapi tidak dapat memperolehinya kerana Tuan Puteri Sa’dong memiliki kesaktian yang dianugerahkan oleh Encik Siti kepada baginda.
            Selain itu juga, dalam Hikayat Seri Kelantan ini juga diceritakn Sultan Abdullah dibunuh, Tuan Puteri Sa’dong berpindah ke Bukit Marak lalu mengghaibkan diri ekoran daripada masalah yang jatuh menimpa baginda. Di samping itu juga, diceritakan tentang pemerintah yang memerintah negeri Kelantan yang seterusnya. Dalam hikayay ini, banyak nilai-nilai murni dan iktibar yang boleh diambil. Malah gaya bahasa yang tersusun juga turut memainkan peranan yang penting. Latarnya yang menjangkau banyak tempat, masa yang panjang dan tergolong dalam latar masyarakat yang pelbagai.
            Di samping itu juga, hikayat ini wajar dijadikan sebagai teks untuk mengajar dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu seiring dengan falsafahnya. Objektif yang ingin disampaikan turut jelas dapat memandu para pelajar memahami dengan lebih mendalam tentang hikayat ini.

2.0  SINOPSIS
Diceritakan pada zaman dahulu kala ada seorang raja bernama Encik Siti yang memerintah negeri kelantan ataupun namanya ketika itu ialah Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung . Beliau merupakan seorang perempuan yang mampu memerintah sebuah negeri yang sangat besar kerajaannya dengan adil dan bijaksana. Namun, Encik Siti ini tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai suami. Encik Siti telah mendengar kabar berita bahawa ada seorang anak raja Jembal yang sangat baik rupanya dan baginda berhajat mahu mengambil anak tersebut daripada Raja Jembal sebagai anak angkat kerana baginda sangat menginginkan seorang anak disebabkan baginda tidak mempunyai anak. Oleh itu Raja Jembal telah menyerahkan anaknya ynag bernama Puteri Sa’dung kepada Encik Siti. Encik Siti sangat menyayangi Puteri Sa’dung dan apabila puteri itu membesar, beliau mempunyai rupa paras yang sangat cantik dan menjadi dambaan para lelaki. Namun, En Siti telah mengambil langkah menjodohkan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah iaitu anak Raja Jembal. Niat En Siti adalah mahu mencari seseorang bagi menggantikan tempatnya sebagai raja sekiranya baginda meninggal dunia. Majlis perkahwinan Puteri Sa’dung dan Raja Abdullah dijalankan selama empat puluh hari empat puluh malam.

Setelah berkahwin En Siti menyerahkan takhta negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kepada Sultan Abdullah dan En Siti juga berpindah dari istana tersebut dan membina kerajaan baru. Namun, ada sebuah kerajaan di Siam yang rajanya sangat suka dan berahi kepada Puteri Sa’dung kerana beliau mendengar cerita tentang kecantikan yang dimiliki oleh Puteri Sa’dung. Raja kerajaan negeri Siam telah mengarahkan beberapa orang suruhannya termasuk seorang ahli nujumnya yang bernama Tuk Cha untuk datang ke kerajaan Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung bagi mengambil Puteri Sa’dung kerana raja Siam sudah tidak mampu menahan nafsunya terhadap Puteri Sa’dung lagi. Setelah sampai di negeri Tanah Serendah Kebun Bunga, seorang orang suruhan dari Siam datang untuk bertemu dengan Sultan Abdullah untuk menyatakan hasrat mereka datang kemari dan mengambil Puteri Saadong untuk dibawa kepada Raja Siam. Oleh kerana mendengar kata-kata orang suruhan kerajaan Siam itu, Sultan Abdullah sangat marah dan menghalau orang suruhan tersebut dari istana dan orang suruhan Siam kembali ke kapal dengan perasaan sangat malu. Esoknya, orang Siam telah meyerang negeri Tanah Serendah Kebun Bunga bagi mengambil Puteri Sa’dung. Namun, dengan kuasa yang ada negeri Tanah Serendah Kebun Bunga berjaya berpindah dari kawasan sebenar ke tengah hutan. Akibatnya, orang Siam tidak dapat mencari negeri tersebut namun dengan bantuan Tuk Cha beliau berupaya menjumpai semula negeri itu. Sekali lagi negeri itu diserang. Sultan Abdullah yang tidak mampu menahan serangan itu akhirnya mengambil tindakan pergi bertemu dengan Tuk Cha dan bertanyakan apa sebabnya mereka tidak habis-habis menyerang negeri itu dan setelah diberitahu oleh Tuk Cha, Sultan Abdullah pulang dengan perasaan yang sedih kerana menurut Tuk Cha, mereka mahu mengambil isteri Sultan Abdullah iaitu Puteri Sa’dung untuk dibawa kepada raja mereka. Setelah mendapati suaminya sudah pulang dari kapal Siam, Puteri Sa’dung bertanyakan kepada suaminya apa sebabnya dan Sultan Abdullah menyatakan bahawa tentera Siam mahu mengambil Puteri Sa’dung untuk dibawa ke Siam. Atas rasa bertanggungjawab terhadap rakyat dan mendengar titah suaminya Puteri Sa’dung terpaksa bersetuju untuk dibawa ke Siam. Setelah sampai di Siam, Raja Siam telah cuba untuk meniduri Puteri Sa’dung namun belum sempat raja Siam mendekati Puteri Saadong, beliau sempat meludahi di bahagian dada raja Siam. Akibatnya, raja Siam terkena penyakit kayap yang tidak dapat diubati. Setelah mendengar perkabaran daripada Tuk Cha bahawa penyakit kayap raja Siam akan sembuh apabila raja Siam berjauhan dengan Puteri Sa’dung lalu raja Siam mengambil tindakan menghantar semula puteri itu ke negaranya. Setelah Puteri Sa’dung dihantar semula penyakit yang menimpa raja Siam kembali sembuh. Setelah sampai di negaranya Puteri Sa’dung mendapat tahu bahawa Sultan Abdullah telah berkahwin lain selepas pemergiannya ke negeri Siam. Akibatnya, Sultan Abdullah tidak mahu menerima Puteri Sa’dung semula lalu berlaku pergaduhan antara mereka yang mengakibatkan kepala  Puteri Sa’dung dipenggal oleh Sultan Abdullah dan meninggal dunia. Oleh kerana rasa bertanggungjawab inang-inang telah membawa Puteri Sa’dung dan mengubatinya dengan menggunakan air renjisan mawar yang berada dalam sanggul Puteri Sa’dung. Selepas itu, Puteri Sa’dung hidup semula dan beliau sangat marah dengan Sultan Abdullah dan akhirnya Puteri Sa’dung berjaya membunuh Sultan Abdullah. Setelah itu Puteri Sa’dung meninggalkan istana kota Jelasin dan mencari kawasan baru untuk membina sebuah negeri. Setelah itu, Puteri Sa’dung menyerahkan takhta negeri itu  kepada adik iparnya Raja Ibrahim. Namun pemerintahan negeri itu mula bergolak kerana rajanya sangat zalim terhadap rakyat dan ada juga rajanya yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan keamanan negara. Oleh itu, raja negerinya mula bertukar ganti sehingga berlaku pertempuran dan saudara di Kelantan.


3.0 TEMA
            Tema merupakan gagasan pemikiran utama yang terdapat dalam sesebuah cerita atau persoalan pokok yang menjadi inti kepada semua persoalan yang diterapkan dalam sesebuah cerita. Tema juga adalah pokok persoalan utama.

            Tema Hikayat Seri Kelantan adalah sejarah pemerintahan negeri Kelantan. Sejarah tersebut bermula pada awal pemerintahan sehingga ke akhir pemerintahan. negeri Kelantan yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung yang pada mulanya diperintahan oleh En Siti seorang wanita yang telah memerintah negeri tersebut dengan aman dan makmur tanpa adanya kezaliman. Selepas En Siti, pemerintahan negeri Kelantan diambil oleh Sultan Abdullah iaitu suami Puteri Sa’dung menantu En Siti. Setelah itu, berlaku beberapa kejadian yang menyebabkan kerajaan yang besar ini bergolak sehingga berlaku peperangan dan sebagainya.










4.0 PERSOALAN
Setiap karya mesti mempunyai tema sampingan yang digunakan untuk menguatkan sesebuah hasil karya itu. Persoalan ialah tema sampingan yang dibincangkan dalam sesebuah karya.

Persoalan yang terdapat dalam Hikayat Seri Kelantan ialah persoalan kesetiaan kepada suami. Kesetiaan terhadap suami merupakan suatu perkara yang sangat penting dan ditntut dalam agama. Tanpa kesetiaan rumah tangga akan porak peranda dan tidak diredhai oleh Allah, kesetiaan terhadap suami dapat dilihat pada watak Puteri Sa’dung yang sangat setia pada suaminya walaupun dia telah diambil oleh Raja Siam. Namun, berkat kesetiaan yang mendalam terhadap suami tercinta puteri Sa’dung telah berjaya menewaskan Raja Siam yang mahu menidurinya. Keadaan ini dapat dilihat apabila Puteri Sa’dung telah menggunakan kesaktian air ludahnya untuk mengelakkan raja Siam daripada melakukan perkara yang tidak baik terhadapnya. Puteri Sa’dung telah meludah ke bahagian dada raja Siam sehingga menyebabkan dada raja tersebut terkena penyakit kayap yang tidak dapat disembuhkan melainkan berjauhan dengan Puteri Sa’dung. Akibatnya raja tersebut terpaksa menghantar semula Puteri Sa’dung kembali ke negaranya. (m/s 124)

            Dalam Hikayat Seri Kelantan juga terdapat persoalan yang berkaitan dengan kesaktian yang terdapat dalam diri seseorang individu. Kesaktian merupakan suatu perkara yang dianugerahkan oleh ilahi. Dalam hikayat ini, kesaktian yang digambarkan ini adalah untuk menaikkan martabat kaum wanita. Persoalan berkaitan dengan kesaktian ini dapat dilihat pada watak Puteri Sa’dung yang telah hidup semula setelah meninggal dunia akibat dipancung oleh suaminya Sultan Abdullah. Namun apabila disapu dengan air mawar pada bahagian leher dan badan Puteri Sa’dung, akhirnya Puteri Sa’dung kembali hidup dan membalas dendam terhadap suaminya yang telah membunuhnya.  (m/s 129)

Terdapat juga persoalan ketaatan yang dapat dilihat dalam Hikayat Seri Kelantan. Ketaatan dapat dilihat dalam hikayat ini dimana ketaatan terhadap golongan pemerintah. Keadaan ini dapat dilihat apabila Raja dan Permaisuri Jembal yang memberikan anak mereka kepada Encik Siti setelah Encik Siti menyatakan hasratnya untuk mengambil Puteri Sa’dung daripada kedua ibu bapanya. Mereka tidak langsung melawan sebaliknya menyerahkan Puteri Sa’dung kepada Encik Siti kerana Encik Siti merupakan pemerintah yang sangat besar kerajaannya. (m/s115)

Seterusnya adalah persoalan tentang mementingkan nafsu. Persoalan ini dapat dilihat pada raja Siam yang sangat mementingkan nafsunya semata-mata tanpa menghiraukan orang itu sudah dimiliki atau tidak. Keadaan ini akhirnya membawa padah terhadap dirinya sendiri. Hal ini dapat dilihat apabila raja Siam yang mendengar tentang kecantikan Puteri Sa’dung tidak dapat menahan nafsunya terhadap wanita tersebut sehingga menghantar rombongan ke negeri Tanah Serendah Kebun Bunga untuk mendapatkan wanita tersebut. Keadaan ini berlarutan sehingga terjadi peperangan sebelum Puteri Sa’dung bersetuju untuk mengikut rombongan Siam. Tanpa mengira Puteri Sa’dung telah bersuami, raja Siam tetap mahukan puteri itu sehinggakan puteri itu menyebabkan beliau jatuh sakit. (m/s 118)

Di samping itu, terdapat juga persoalan berkaitan dengan kezaliman pemerintah. Pemerintah merupakan seorang yang sangat penting dalam sesebuah negera. Tanpa pemerintah yang baik dan bertanggungjawab sesebuah negara akan menjadi kucar-kacir dan sebagainya. Persoalan kezaliman ini sangat jelas dapat dilihat dalam Hikayat Negeri Kelantan dimana selepas kemangkatan Sultan Abdullah, Sultan Ibrahim iaitu adik kepada Sultan Abdullah datang bertemu dengan Puteri Sa’dung untuk mengambil alih pemerintahan abangnya. Namun, keadaan bertukar menjadi buruk apabila Sultan Ibrahim yang diberi mandat oleh Puteri Sa’dung memerintah negeri itu dengan zalim sehingga rakyat yang telah dizaliminya pergi mengadu kepada Puteri Sa’dung. Akibatnya pemerintahan Sultan Ibrahim telah jatuh kerana sumpahan Puteri Sa’dung dan sehingga itu tiada lagi keturunan raja Jembal naik menjadi raja di situ.  (m/s 133)

Selain itu, terdapat juga persoalan keagaamaan. Dalam Hikayat Seri Kelantan, terdapat persoalan keagamaan yang digambarkan dalam diri Puteri Sa’dung. Hal ini dapat dilihat, apabila Raja Siam mahu menghantar Puteri Sa’dung kembali ke negerinya dengan bertemankan tujuh orang pengikut Siam yang bukan beragama Islam. Puteri Sa’dung telah menolaknya dengan memberi alasan bahawa dia tidak mahu kembali dengan orang yang bukan beragama Islam sebaliknya dia menginggingkan orang yang menemani perjalanan pulangnya itu adalah terdiri daripada orang yang beragama Islam. Oleh itu, Raja Siam terpaksa akur dengan permintaan Puteri Sa’dung dan menitahkan seramai tujuh orang yang terdiri daripada mereka yang beragama Islam untuk menghantar Puteri Sa’dung pulang dengan menaiki sebuah kapal.  (m/s 125)

Terdapat juga persoalan kasih sayang dalam cerita Hikayat Seri Kelantan. Kasih sayang sesama manusia. Kasih sayang ini dapat dilihat pada Sultan Abdullah yang sangat menyayangi isterinya Puteri Sa’dung. Raja Abdullah sangat marah apabila mengetahui bahawa raja Siam mahu mengambil isterinya untuk dijadikan isteri kepada raja Siam. Raja abdullah berkeras mempertahankan isterinya dan memarahi orang suruhan raja Siam yang datang ke istanya untuk mengambil Puteri Sa’dung. (m/s118)

Dalam Hikayat Seri Kelantan juga dapat dilihat persoalan bertindak terburu-buru. Sebelum membuat sesuatu keputusan seharusnya kita menyiasat dahulu sesuatu perkara sama ada betul atau tidak. Kita tidak sewajarnya membuat keputusan terburu-buru yang akhirnya akan membawa kesusahan kepada kita. Persoalan ini jelas dilihat pada watak Raja Kubang Labu yang telah membunuh isterinya yang dikatakan telah curang padanya tanpa usul periksa yang akhirnya menyebabkan abang kepada isterinya menuntut bela atas kematian adiknya. Akibat daripada pembunuhan tersebut, Raja Pasir Emas telah membunuh Raja Kubang Labu (m/s 140)





5.0 WATAK DAN PERWATAKAN
Setiap karya kreatif sama ada novel mahupun cerpen mengetengahkan pelbagai watak  bagi menghidupkan sesebuah karya dan setiap mesej yang diterapkan sampai kepada pembaca. Watak merupakan pelaku dalam sesebuah karya untuk menggerakkkan cerita manakala perwatakan pula adalah merupakan pelukisan watak sama ada dari aspek dalaman mahupun luaran. Watak-watak ini lazimnya terdiri daripada manusia namun kadang kala wujud juga watak bukan manusia tetapi dia diberi watak seperti binatang yang boleh berfikir, beremosi dan berperilaku seperti manusia ianya disebut sebagai cerita satira. Watak yang berperanan penting dikenali sebagai watak protagonis yang menjadi tumpuan atau pusat cerita. Hal ini kerana perkembangan cerita lazimnya berpusat pada watak utama yang sering membentuk cerita.

Watak sampingan pula merupakan watak yang akan membantu watak utama dalam sesebuah jalan cerita. Selain itu, wujud juga watak antagonis yang merupakan watak penentang dalam sesebuah cerita. Di samping itu, watak antagonis ini juga merupakan watak yang berperanan mewujudkan konflik dalam sesebuah karya yang dihasilkan oleh pengarang.







5.1 Watak Dan Perwatakan Dalam Hikayat Seri Kelantan

ENCIK SITI
Encik Siti merupakan raja perempuan yang memerintah negeri Kelantan yang pada masa itu dikenali dengan nama Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung. Encik Siti tidak bersuami dan tidak mempunyai anak. Keadaan ini telah menyebabkan Encik Siti mengambil anak angkat iaitu anak kepada Raja Jembal yang akhirnya digelar Puteri Sa’dung.

Perwatakan  
·         Seorang yang adil
Ø  Encik Siti merupakan seorang pemerintah yang bersikap adil. Hal ini kerana baginda telah memerintah begitu lama di negeri tersebut dan negeri itu sentiasa dalam keadaan yang aman damai. Rakyat yang bernaung di bawah tampuk pemerintahan baginda amat suka terhadap sikap Encik Siti yang adil.

·         Seorang yang penyayang
Ø  Sikap penyayang Encik Siti ini dapat dilihat melalui layanan yang diberikannya kepada Puteri Sa’dung. Walaupun Puteri Sa’dung hanyalah anak angkat kepadanya namun Encik Siti tetap memberi layanan yang baik terhadap Puteri Sa’dung malah baginda sentiasa menjaga Puteri Sa’dung dengan penuh kasih  sayang sehinggalah besar menjadi seorang wanita yang memiliki rupa paras yang cantik.

PUTERI SA’DUNG
Puteri Sa’dung merupakan anak kepada raja Jembal. Dia akhirnya diambil dan dipelihara oleh Encik Siti untuk dijadikan sebagai seorang anak angkat. Di samping itu, Puteri Sa’dung juga digambarkan sebagai seorang yang memiliki rupa paras yang cantik yang tiada tandinganya pada masa itu. Puteri Sa’dung akhirnya berkahwin dengan anak raja Jembal iaitu Raja Abdullah yang akhirnya menjadi Sultan Abdullah. Puteri Sa’dung juga merupakan watak Protagonis dalam “Hikayat Seri Kelantan” ini.

Perwatakan
·         Seorang yang memiliki kesaktian
Ø  Puteri Sa’dung merupakan seorang puteri yang memiliki unsur kesaktian. Hal ini terbukti apabila Puteri Sa’dung berjaya memindahkan kawasan bawah pemerintahanya pindah ke dalam hutan dan tidak ada seorang pun yang mampu pergi ke sana. Di samping itu, unsur kesaktian yang turut dimiliki oleh Puteri Sa’dung juga dapat dilihat apabila dirinya mampu hidup kembali seperti sediakala walaupun kepalanya telah dipenggal oleh Sultan Abdullah.

·         Seorang yang adil
Ø  Walaupun memiliki pelbagai bentuk kesaktian namun Puteri Sa’dung merupakan seorang yang adil dalam membuat sesuatu keputusan. Hal ini dapat dilihat apabila Raja Ibrahim bertanyakan tentang pemerintah yang akan menggantikan abangnya yang telah meninggal dunia iaitu Sultan Abdullah. Atas rasa keadilan Puteri Sa’dung akhirnya melantik Raja Ibrahim menjadi pemerintah untuk menggantikan kakandanya Sultan Abdullah walaupun sultan Abdullah tidak berlaku adil kepada dirinya.

·         Seorang yang baik hati
Ø  Puteri Sa’dung juga merupakan seorang yang baik hati. Sikap Puteri Sa’dung ini dapat kita lihat apabila beliau memberikan seluruh istana yang dahulunya merupakan tempat tinggalnya bersama Sultan Abdullah kepada isteri baru Sultan Abdullah untuk diperintah walaupun Sultan Abdullah telah mengkhianatinya.

·         Seorang yang menurut perintah
Ø  Puteri Sa’dung juga digambarkan sebagai seorang yang menurut perintah. Hal ini terbukti apabila dia bersetuju terhadap perintah suaminya iaitu Sultan Abdullah agar pergi berjumpa dengan Raja Siam itu. Puteri Sa’dung tetap patuh kepada arahan Sultan Abdullah walaupun dalam masa yang sama dia sedar nyawanya dalam keadaan yang bahaya.

·         Seorang yang tahu menjaga adab dan pergaulan
Ø  Walaupun seorang yang disegani kerana kecantiknya namun Puteri Sa’dung merupakan seorang yang tahu menjaga adab dan pergaulan. Sikapnya ini dapat dibuktikan apabila Puteri Sa’dung menolak kehendak Raja Siam yang ingin berkahwin denganya kerana dia merupakan isteri Sultan Abdullah. Selain itu, sewaktu Raja Siam menghantarnya kembali kepada tempat asalnya dia menyatakan tidak bersetuju untuk  belayar dengan orang yang bukan beragama Islam dan menyuruh Raja Siam menghantarnya dengan diiringi oleh pengawal yang kesemuanya beragama Islam.

RAJA ABDULLAH
Raja Abdullah merupakan anak kepada seorang Raja Jembal. Beliau akhirnya dikahwinkan dengan Puteri Sa’dung iaitu anak angkat kepada Encik Siti. Kemudian dia telah diangkat menjadi sultan dengan gelaran Sultan Abdullah.

Perwatakan
·         Seorang pemerintah yang adil
Ø  Sikap adil Raja Abdullah ini dapat kita lihat melalui cara pemerintahnya. Hal ini terbukti apabila Raja Abdullah bermesyuarat dengan pegawai-pegawainya untuk membuat satu kota yang baru.

·         Seorang yang mementingkan diri
Ø  Raja Abdullah digambarkan mempunyai perwatakan seorang yang mementingkan diri. Hal ini dapat dilihat apabila dia sanggup menghantar Puteri Sa’dung kepada Raja Siam demi untuk keamanan pemerintahanya tanpa memikirkan kesan yang bakal dihadapi oleh Puteri Sa’dung. Di samping itu juga sikap mementingkan diri ini dapat dilihat apabila Raja Abdullah berkahwin lain setelah pemergian Puteri Sa’dung ke Siam.

·         Seorang yang tidak dapat mengawal perasaan marah
Ø  Raja Abdullah juga mempunyai sikap yang tidak dapat mengawal perasaan marahnya. Keadaan ini menyebabkan timbulnya perbalahan antara baginda dengan Puteri Sa’dung kerana tidak bersetuju dengan arahan Puteri Sa’dung yang mengkehendakinya untuk berpindah daripada mahligai yang diduduknya. Hal ini telah menimbulkan kemarahan dalam diri Raja Abdullah sehingga menyebabkanya memancung leher Puteri Sa’dung.

RAJA SIAM
Raja siam merupakan pemerintah di negeri Siam yang berbangsa kafir. Beliau telah jatuh cinta dengan Puteri Sa’dung dan mengarahkan pengawalnya untuk mengambil Puteri Sa’dung dari Raja Abdullah. Raja Siam juga telah terkena penyakit kayap akibat di ludah oleh Puteri Sa’dung.

Perwatakan
  • Seorang pemerintah yang kuat dan berkuasa
Ø  Raja Siam merupakan seorang pemerintah yang kuat dan berkuasa. Hal ini terbukti apabila banyak negara dan kuasa raja takluk dibawah kekuasaanya.

  • Seorang yang degil
Ø  Sikap degil Raja Siam ini jelass terbukti apabila dia enggan mendengar alasan Puteri Sa’dung supaya tidak berkahwin dengannya kerana puteri Sa’dung merupakan isteri kepada Raja Abdullah. Akibat daripada sikap degil itu Raja Siam akhirnya terkena penyakit kayap.

·         Bertanggungjawab
Ø  Walaupun memiliki banyak sikap negatif namun Raja Siam juga merupakan seorang yang bertanggungjawab. Hal ini terbukti apabila dia menghantar Puteri Sa’dung pulang ke tempat asalnya dengan diiringi tujuh orang pengawal bagi memastikan keselamatanya.

 RAJA IBRAHIM
Raja Ibrahim merupakan adik kepada Sultan Abdullah. Beliau akhirnya dilantik oleh Puteri Sa’dung menjadi penganti kepada Sultan Abdullah yang telah meninggal dunia.

Perwatakan
·         Seorang yang menghormati pemerintah
Ø  Raja Ibrahim digambarkan sebagai seorang yang menghormati pemerintah. Hal ini dapat dilihat melalui tindakanya berjumpa dengan Puteri Sa’dung untuk bertanyakan hal berkaitan dengan kawasan yang sebelumnya dibawah pemerintahan Sultan Abdullah yang kini tidak mempunyai pemerintah.

·         Seorang pemerintah yang zalim
Ø  Raja Ibrahim merupakan seorang pemerintah yang zalim. Keadaan ini telah menyebabkan ramai rakyatnya menjadi mangsa dan tidak berpuas hati atas sikapnya. Hal ini telah menyebabkan rakyat mengadu kepada Puteri Sa’dung dan mengakibatkan Puteri Sa’dung membuat keputusan untuk ghaib daripada orang ramai. Beberapa lama selepas kejadian itu Raja Ibrahim akhirnya jatuh menjadi miskin.

6.0 PLOT
Forster mendefinisikan plot sebagai penceritaan peristiwa yang berasaskan kepada sebab-musabab (1962:93). Plot juga boleh didefinisikan sebagai kisah berangkai yang bersebab, disulami dengan konflik atau permasalahan, dan disudahi dengan penyelesaian. Plot memfokuskan kepada suatu idea utama dalam fikiran watak. Peristiwa-peristiwa pilihan menggambarkan watak yang tidak sehaluan lantas terjadilah konflik. Aksi watak-watak itu membantu mewujudkan konflik antara watak-watak dalam cerita yang akan menyebabkan berlakunya permulaan, pertengahan, dan kesudahan.

Plot mengemukakan perkara yang terjadi dan sebab perkara itu terjadi. Setiap perkara berhubungan berdasarkan faktor-faktor sebab dan akibat. Susunan   cerita  bergantung   pada   fantasi   dan kreativiti pengarang. Plot dirangka dengan teliti dan tidak semestinya berurutan peristiwanya dari awal hingga akhir atau kronologi.  Plot ialah penyusunan kronologi yang diubah suai mengikut kemahuan pengarang. Teknik  penyusunan  plot  yang   menarik   ialah penyusunan  peristiwa  secara   tidak  kronologi. Pengarang haruslah cekap, kreatif, dan bijaksana menyusunnya sehingga mencapai peleraian.

6.1 Binaan Plot
Plot sesebuah cerita terbina daripada jalinan peristiwa demi peristiwa yang dipaparkan di peringkat permulaan, perkembangan, kemuncak dan juga peleraian. Pengarang menggunakan daya kreativiti masing-masing untuk mengembangkan plot cerita. Permulaan   plot   ialah   peringkat   permulaan (eksposisi), iaitu untuk memperkenalkan watak-watak, latar, dan suasana. Perkembangan plot mengakibatkan konflik. Peristiwa berkembang kepada peringkat pertengahan cerita, iaitu perumitan (komplikasi). Perumitan   menuju   kepada   puncak   (klimaks) apabila tercapainya konsentrasi yang maksimum. Kemudian urutan cerita menuju kepada peleraian. Kadang-kadang  puncak dijadikan  pengakhiran cerita bagi sesetengah cereka. Dalam Hikayat Seri Kelantan, pengarang menulis cerita secara kronologi iaitu mengikut urutan.

·         Permulaan
Bahagian permulaan plot merupakan peringkat pengarang memulakan cerita. Di peringkat ini, pengarang boleh memulakan cerita sama ada dengan memperkenalkan watak, latar, peristiwa ataupun persoalan cerita.

  • Perkembangan
Dalam bahagian ini, cerita mula dikembangkan oleh pengarang. Peristiwa demi peristiwa dijalin padu dengan menggunakan pelbagai teknik. Pengarang menggunakan teknik penceritaaan yang pelbagai untuk menjadikan cerita lebih menarik dan berkesan. Di bahagian ini juga pengarang memuatkan pelbagai konflik serta unsur-unsur suspens supaya pembaca tidak jemu untuk meneruskan pembacaan.

  • Puncak
Puncak merupakan detik ketegangan bagi konflik yang timbul dalam sesebuah cerita. Biasanya, di peringkat ini konflik yang terdapat dalam sesebuah cerita menjadi lebih tegang.

  • Peleraian
Bahagian peleraian merupakan peringkat bagaimana pengarang mmenyudahkan ceritanya. Terdapat pelbagai cara pengarang menamatkan cerita. Adakalanya peleraian cerita terbiar dengan penuh suspens. Cara ini menuntut pembaca meramalkan apakah yang akan berlaku seterusnya.

6.2 Plot Dalam Hikayat Seri Kelantan.

PERMULAAN
Memperkenalkan pemerintah negeri Kelantan iaitu seorang perempuan yang digelar sebagai Encik Siti. Encik Siti tidak pernah berkahwin. Nama asal negeri Kelantan pada masa tersebut ialah Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung. Setelah lama memerintah, Encik Siti teringin mempunyai anak lalu mengambil anak Raja Jembal iaitu Tuan Puteri Sa’dung untuk dijadikan sebagai anak angkat.





PERKEMBANGAN
Tuan Puteri Sa’dung akhirnya membesar menjadi seorang gadis yang sangat cantik dan digilai oleh pemuda-pemuda. Encik Siti terfikir untuk mencari pasangan hidup Puteri Sa’dung dan akhirnya mengahwinkan Puteri Sa’dung dengan Raja Abdullah yang juga merupakan anak Raja Jembal. Raja Abdullah bergelar Sultan Abdullah dan Puteri Sa’dung tinggal bersama di negeri Tidak lama kemudian, Encik Siti menyuruh Sultan Abdullah membina kota lain. Kota tersebut diberi nama sebagai Kota Jelasin. Encik Siti pula berpindah tinggal di Gunung Ayam. Sultan Abdullah menjadi pemerintah negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung.

PERUMITAN
Raja Siam berkenaan dengan Puteri Sa’dung lalu memerintah menteri, hulubalang-hulubalangnya serta Tuk Ca iaitu seorang bomoh untuk menyerang negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung untuk mengambil Puteri Sa’dung. Orang-orang suruhan Raja Siam menyampaikan tujuan kedatangan mereka adalah untuk mengambil Puteri Sa’dung tetapi dimarahi oleh Sultan Abdullah. Hal ini menyebabkan orang-orang suruhan Raja Siam menyerang Kota Jelasin tetapi tidak berjaya mengalahkan askar-askar negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung. Namun begitu, penduduk negeri itu telah ditimpa kelaparan menyebabkan keadaan menjadi kucar-kacir. Kesempatan itu digunakan oleh orang-orang suruhan Raja Siam untuk mengepung Kota Jelasin. Puteri Sa’dung menggunakan kesaktiannya supaya kota dan mahligai istana ghaib daripada pandangan orang-orang suruhan Siam. Kota dan mahligai istana tersebut terangkat dan jatuh di dalam hutan dan tempat tersebut diberi nama Mahligai. Apabila orang-orang suruhan Raja Siam melihat kota dan mahligai istana Sulatan Abdullah dan Puteri Sa’dung ghaib, mereka memberitahu perkara tersebut kepada Tuk Ca yang merupakan seorang bomoh. Melalui kepandaian Tuk Ca, mereka akhirnya dapat mengesan tempat Puteri Sa’dung dan Sultan Abdullah bersembunyi lantas mengepung kawasan tersebut. Sultan Abdullah dan Puteri Sa’dung berbincang dan Sultan Abdullah pergi mendapatkan Tuk Ca untuk bertanyakan tujuan mereka yang sebenarnya. Tuk Ca menyatakan tujuan mereka hanyalah untuk mendapatkan Puteri Sa’dung untuk diberikan kepada Raja Siam. Sultan Abdullah menyuruh Puteri Sa’dung mengikut permintaan Raja Siam untuk menjamin keselamatan negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung. Puteri Sa’dung akhirnya akur dan mengikut orang-orang suruhan Raja Siam kembali ke Siam. Sultan Abdullah pula berkahwin lagi dengan anak Raja Jembal. Raja Siam mahu mengahwini Puteri Sa’dung tapi Puteri Sa’dung tidak mahu kerana dia masih isteri Sultan Abdullah. Walau bagaimanapun, Raja Siam berkelakuan tidak senonoh dengan Puteri Sa’dung. Puteri Sa’dung lantas meludah dada Raja Siam. Tidak berapa lama kemudian dada Raja Siam terkena penyakit kayap dan tidak dapat disembuhkan malah bertambah teruk walaupun sudah banyak taib, bomoh dan nujum yang merawatnya. Raja Siam bertanyakan masalah tersebut kepada Tuk Ca dan Tuk Ca menyuruh Raja Siam melepaskan Puteri Sa’dung kerana hanya itulah penyembuh kepada penyakitnya itu. Puteri Sa’dung akhirnya dilepaskan dengan diiringi oleh tujuh orang lelaki yang beragama Islam dengan sebuah perahu. Raja Siam akhirnya sembuh daripada penyakitnya selepas melepaskan Puteri Sa’dung. Sepanjang perjalanan ke negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung, pengiring-pengiring Puteri Sa’dung meninggal dunia seorang demi seorang sehinggalah tinggal tiga orang sahaja yang mengiringinya sampai ke tempat Sultan Abdullah. Ketiga-tiga orang Siam yang beragama Islam itu pulang ke Siam untuk menceritakan yang Puteri Sa’dung sudah selamat sampai di negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung.

KLIMAKS
Kedatangan Puteri Sa’dung memeranjatkan Sultan Abdullah dan Puteri Sa’dung juga tidak setuju dengan perbuatan Sultan Abdullah yang berkahwin lain dan menyuruh Sultan Abdullah meninggalkan istana mahligai kepunyaannya. Namun, Sultan Abdullah tidak mahu berpindah. Hal ini menyebabkan kedua-duanya bergaduh. Sultan Abdullah memancung leher Puteri Sa’dung sehingga putus dua menyebabkan Puteri Sa’dung mati. Seorang inang pengasuh Puteri Sa’dung teringat kata-kata Puteri Sa’dung iaitu sekiranya dia mati berdarah, jembul di dalam sanggulnya yang berisi air mawar akan menghidupkannya kembali. Lantas inang pengasuh itupun mengambil air mawar dalam jembul Puteri Sa’dung dan mencelupkan kapas di bahagian leher yang cedera. Tidak lama kemudian Puteri Sa’dung hidup kembali. Puteri Sa’dung menuntut bela dan membunuh Sultan Abdullah.

PELERAIAN
Puteri Sa’dung menyerahkan istana mahligai negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kepada isteri Sultan Abdullah. Puteri Sa’dung bersama-sama dengan inang-inang pengasuh dan rakyatnya berpindah ke Bukit Marak. Adik Sultan Abdullah iaitu Raja Ibrahim berjumpa Puteri Sa’dung menanyakan siapa yang menjadi raja di negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kerana negeri itu tidak beraja dan huru-hara. Lalu Puteri Sa’dung melantik Raja Ibrahim menjadi pemerintah di negeri tersebut dan membuat satu kota bernama Kota Teras. Namun begitu, Sultan Ibrahim memerintah dengan zalim sehingga rakyatnya mengadu hal tersebut kepada Puteri Sa’dung. Puteri Sa’dung membuat sumpahan dan menghilangkan diri menyebabkan Raja-raja Jembal jatuh miskin dan negeri tersebut tidak lagi beraja. Selepas itu muncul pula beberapa raja seperti Datu yang tinggal di Pekalan Datu, Raja Udang yang tinggal di Kelucar dan Tuan Long Pandak. Di negeri Kebayat Nenggara pula menceritakan kemusnahan negeri itu yang diserang oleh China. Raja negeri tersebut mempunyai dua orang anak iaitu Tuan Kembang Bunga dan Long Sulaiman. Tuan Puteri Kembang Bunga dan adiknya Long Sulaiman melarikan diri bersama-sama dengan inang pengasuh lalu sampai di negeri Pattani dan menjadi anak angkat orang besar negeri tersebut. Setelah besar, Long Sulaiman dikahwinkan dengan anak perempuan orang besar negeri itu. Tuan Puteri Kembang Bunga pula menjadi kegilaan anak-anak raja negeri tersebut menyebabkan puteri itu membunuh diri. Long Sulaiman pula merantau meninggalkan negeri Pattani kerana sedih dengan pemergian kakaknya dan meninggalkan anaknya Long Junus dan isterinya. Raja negeri Pattani iaitu Nang Cayang mengambil Long Junus menjadi anak angkat namun apabila raja tersebut sakit, seorang ahli nujum telah menyatakan bahawa Long Junus membawa nasib buruk kepada raja tersebut. Long Junus akhirnya dihalau keluar daripada negeri Pattani lalu dia merantau dan sampai di negeri Kelantan. Long Junus menjadi anak angkat Raja Kubang Labu. Di negeri Reman pula, Raja Reman menghalau anaknya iaitu Long Jaafar. Long Jaafar akhirnya sampai di negeri Kelantan dan menjadi anak angkat kepada Raja Kubang Labu. Long Jaafar telah mengeluarkan kain yang dibawanya dan isteri raja terlihat kain tersebut dan mahu mengambilnya sebagai contoh untuk menenun kain namun apabila Raja Kubang Labu terlihat kain tersebut, baginda terus menikan isterinya tanpa menyiasat perkara yang sebenar. Mayat isterinya dihantar kembali kepada Raja Pasir Emas Legeh iaitu abang kepada isteri Raja Kubang Labu. Raja Pasir Emas Legeh sangat murka dan menyerang negeri Kubang Labu dan membunuh Raja Kubang Labu yang begitu asyik bermain catur.

6.3 Jenis Plot
Plot dapat dibahagikan kepada dua, iaitu plot kronologi dan plot tidak kronologi. Plot kronologi bermaksud peristiwa dalam cerita dipersembahkan secara berurutan iaitu mengikut urutan perjalanan waktu. Plot tidak kronologi pula tidak mengikut urutan perjalan waktu. Perkembangannya dilakukan melalui tiga cara, iaitu geraklaku fizikal, konflik, dan pemikiran. Plot Hikayat Seri Kelantan ditulis secara kronologi.

6.4 Teknik Plot
Pelbagai teknik digunakan oleh pengarang untuk menggembangkan plot sesebuah cerita. Penggunaan teknik yang pelbagai itu adalah bertujuan untuk menjadikan cerita yang dipaparkan lebih menarik dan berkesan. Antara teknik yang sering digunakan ialah teknik dialog, pemerian, kejutan, konflik imbas kembali, monolog dan monolog dalaman, saspens dan sebagainya.

1.      Dialog
Dialog ialah percakapan antara dua orang watak atau lebih. Teknik ini menjadikan penceritaan lebih segar dan plot cerita lebih pantas berkembang. Melalui dialog, pengarang menggunakan watak-watak untuk menyampaikan buah fikirannya, menyatakan peristiwa, menerangkan tentang watak-watak lain serta latar dalam cerita. Melalui dialog juga, sesuatu yang dinyatakan akan lebih realistik.

Dalam Hikayat Seri Kelantan, contoh teknik dialog dapat dilihat dalam watak inang-inang pengasuh Puteri Sa’dung yang sedang berbincang sama ada Encik Siti pernah memberikan apa-apa kesaktian kepada Puteri Sa’dung kerana Puteri Sa’dung telah mati dibunuh oleh Sultan Abdullah. Contoh:
Adakah tiada Encik Siti itu masa ia tinggal itu beri satu kesaktian kepada Tuan Puteri Sa’dung itu kerana Tuan Puteri Sa’dung itu anak angkat Encik Siti”?
…“Ada juga aku dengar masa Tuan Puteri Sa’dung duduk bercakap-cakap dengan aku berpesan demikian bunyinya: jikalau aku mati berdarah, kamu ambillah satu jambul…”
(m/s 128)

2.      Pemerian
Pemerian ialah satu cara yang digunakan oleh pengarang untuk memerihalkan watak, suasana atau tentang sesuatu peristiwa secara langsung. Ini bermakna, pengarang menyampaikan sesuatu kisah itu dengan cara bercerita. Biasanya, teknik ini banyak digunakan dalam novel yang menggunakan sudut pandangan orang ketiga atau novel-novel sebelum perang.

Dalam Hikayat Seri Kelantan, pengarang banyak menggunakan teknik pemerian dalam menceritakan sesuatu peristiwa contohnya sepanjang perjalanan pulang ke negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung. Pengarang menceritakan secara terperinci kematian pengiring-pengiring Puteri Sa’dung, perjalanan dari satu tempat ke satu tempat dan peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan tersebut.

Contoh:
“Tersebut, kisah Tuan Puteri Sa’dung itu sampai di Kuala Kemayang itu. Maka orang tujuh itu pun matilah, seorang...”(m/s 126-127)

3.        Saspens
Saspens atau ketegangan ialah peristiwa dalam cerita yang menimbulkan keadaan tertanya-tanya atau perasaan ingin tahu di kalangan pembaca tentang peristiwa yang akan berlaku selanjutnya.

Pengarang telah menggunakan teknik plot saspens dalam Hikayat Seri Kelantan antaranya ialah semasa pertengkaran antara Sultan Abdullah dengan Puteri Sa’dung  yang menyebabkan Puteri Sa’dung mati dipancung oleh Sultan Abdullah. Pembaca tertanya-tanya sama ada Puteri Sa’dung akan hidup kembali ataupun tidak. (m/s 128-129).

4.        Kejutan
Kejutan ialah perubahan dalam urutan peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba tanpa diduga oleh pembaca. Lazimnya, kesan yang timbul daripada kejutan tidak sama dengan yang diduga oleh pembaca.

Antara contoh unsur kejutan dalam Hikayat Seri Kelantan ialah Puteri Sa’dung tiba-tiba hidup kembali setelah disapukan dengan air mawar. Puteri Sa’dung juga menuntut bela dengan membunuh Sultan Abdullah. (m/s 129-131)

5.  Konflik
Konflik merupakan pertentangan antara dua pihak atau dua kekuatan dalam satu urutan plot. Konflik boleh berlaku secara dalaman, iaitu konflik dalam diri watak dan secara luaran, iaitu antara watak dengan watak yang lain atau antara watak dengan alam sekitar. Konflik dapat juga digambarkan melalui pertentangan pendapat, idea, sikap, atau pemikiran.

Pengarang juga telah memasukkan unsur konflik dalam Hikayat Seri Kelantan. Antara contoh penggunaan unsur konflik dalam novel ini ialah konflik antara Sultan Abdullah dengan Puteri Sa’dung yang membawa kepada pertengkaran dan menyebabkan Sultan Abdullah membunuh Puteri Sa’dung. (m/s 127-128)

6.  Monolog dalaman
Monolog dalaman ialah kata hati atau pengucapan batin watak. Monolog dalaman merupakan satu cara untuk merakamkan isi hati, pergolakan batin dan fikiran watak. Pengucapan melalui monolog dalaman tidak lahir dari mulut tetapi hanya dalam hati.

Penggunaan teknik monolog dalaman dapat dilihat dalam watak Puteri Sa’dung yang mendapat idea untuk menyuruh suaminya Sultan Abdullah untuk berjumpa dengan Tuk Ca bagi mengetahui tujuan sebenar mereka menyerang dan memburu Puteri Sa’dung dan Sultan Abdullah. (m/s 122)

7.0 LATAR
Latar selalunya berkaitan dengan lingkungan geografi, sejarah, sosial dan politik serta tempat peristiwaitu berlaku atau dinyatakan secara tidak langsung kepada pembaca. Latar juga sering dikaitkan dengan keadaan dan budaya semasa cerita itu berlaku. Walaupun begitu latar tidak mengalami banyak perubahan seperti yang berlaku pada perubahan plot. Kadang kala perubahan latar berlaku begitu kontras antara satu sama lain.

7.1 LATAR TEMPAT
Dalam Hikayat Seri Kelantan ini, pengarang banyak memfokuskan kepada latar negeri Kelantan iaitu terdapat seorang perempuan yang bernama Encik Siti. Encik Sitilah yang menjadi raja di situ dan memerintah kerajaan yang besar.  Selain itu, latar tempat yang seterusnya ialah di Tanah Serendah  Kebun Bunga Cerangtegayung. Tanah Serendah  Kebun Bunga Cerangtegayung ialah nama negeri di mana Encik Siti menjadi raja sangat  lama di situ, menjadi pemerintah yang adil dan mempunyai rakyat yang ramai. Di samping itu juga, latar tempat yang berikutnya ialah di negeri Jembal. Di negeri Jembal merupakan tempat kelahiran Tuan Puteri Sa’dung iaitu anak raja Jembal yang telah menjadi anak angkat kepada Encik Siti kerana baginda tidak berkahwin.
           
            Seterusnya ialah latar tempat di Kota Jelasin. Kota Jelasin merupakan tempat Sultan Abdullah menjadi raja serta tempat baginda dan Tuan Puteri Sa’dung tinggal setelah berpindah dari negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung. Di samping itu, latar tempat yang lain pula ialah di negeri Gunung Ayam. Negeri Gunung Ayam merupakan tempat tinggal Encik Siti setelah berpindah dari negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung bersama dengan rakyatnya. Baginda telah menjadi raja di negeri Gunung Ayam. Latar tempat yang berikutnya ialah di negeri Siam. Di negeri Siam terdapat seorang raja yang ingin kepada Tuan Puteri Sa’dung. Baginda memerintahkan kepada rakyatnya supaya pergi berperang di Kota Jelasin dan membawa Tuan Puteri Sa’dung kepadanya walaupun tahu Tuan Puteri Sa’dung sudah bersuami.

            Di samping itu, latar tempat yang lain ialah di Cerang Bahana. Cerang Bahana merupakan hutan yang besar yang telah dihuni oleh Tuan Puteri Sa’dung, Sultan Abdullah dan semua rakyatnya dengan menggunakan kesaktian yang ada pada Tuan Puteri Sa’dung. Selain itu, latar tempat yang lain ialah di negeri Mahligai. Negeri Mahligai merupakan tempat tinggal Tuan Puteri Sa’dung, suaminya serta rakyatnya di dalam hutan iaitu di Cerang Bahana. Baginda telah menyuruh rakyatnya mendirikan sebuah negeri di situ. Latar tempat yang seterusnya ialah di Kuala Kemayang. Kuala Kemayang ialah tempat yang dilalui oleh Tuan Puteri Sa’dung bersama dengan orang Islam dari Siam yang menghantarnya pulang ke negeri Tanah Serendah  Kebun Bunga Cerangtegayung kerana dekat dengan istananya.

Latar tempat yang lain ialah di Tanjung Jerin. Tanjung Jerin merupakan tempat perkuburan seorang Islam dari Siam yang telah meninggal dunia dan dikuburkan di situ lalu digelar orang sebagai Syeikh Tanjung Jerin. Berikutnya ialah latar tempat di Pekalang Gaung. Di Pekalang Gaung juga terdapat seorang Islam dari Siam yang telah meninggal dunia dan dikuburkan di situ lalu digelar orang dengan nama panggilan Datuk Padang Duri sehingga sekarang. Latar tempat yang lain ialah di Bukit Marak. Bukit Marak merupakan tempat tinggal Tuan Puteri Sa’dung selama tujuh hari dan seorang Islam dari Siam yang menghantar baginda telah jatuh sakit lalu meninggal dunia. Selain itu juga, Bukit Marak telah menjadi tempat tinggal Tuan Puteri Sa’dung bersama dengan rakyatnya setelah berpindah dari istana baginda. Seterusnya ialah latar tempat di Tambak. Tambak merupakan tempat orang Islam dari Siam telah dikuburkan dan digelar orang dengan panggilan Datuk Tambak sehingga sekarang.

Latar tempat yang berikutnya ialah di Tasik Padang Layang. Tasik Padang Layang merupakan tempat di mana Sultan Abdullah dikebumikan setelah baginda telah dipenggal lehernya oleh Tuan Puteri Sa’dung yang telah membalas dendam di atas perbuatan Sultan Abdullah yang telah memancung lahernya dengan pedang setelah berlaku pertelingkahan antara mereka. Di samping itu, latar tempat yang lain ialah di Kota Teras iaitu kota yang telah dibina oleh rakyat Sultan Ibrahim mengikut perintah baginda. Latar tempat yang seterusnya ialah di Pengkalan Datu. Pengkalan Datu telah diperintahkan oleh seorang Datu yang hanya memerintah negeri tersebut selama tiga tahun kemudian jatuh sakit dan dikebumikan di situ. Latar tempat yang lain ialah di Kelucar iaitu negeri  di mana Raja Udang telah dikebumikan lalu digelar orang sebagai Tuk Raja Udang.

Selain itu, latar tempat yang berikutnya ialah di negeri Lenggeh iaitu terdapat seorang raja yang bernama Tuan Long Pandak yang merupakan ipar kepada Raja Pasir Emas Seberang Tuk Deh. Latar tempat yang lain ialah di Kubang Labu. Kubang Labu ialah kota yang telah dibina oleh Tuan Long Pandak. Kok Keranji pula ialah tempat di mana Raja Muda kepada Tuan Long Pandak tinggal. Latar tempat yang lain ialah di Kebayat Nenggara iaitu negeri yang telah diserang oleh negeri China. Berikutnya ialah latar tempat di negeri China iaitu raja China yang mempunyai ramai tentera yang telah berjaya menakluk negeri Kebayat Nenggara. Latar tempat seterusnya ialah di negeri Pattani iaitu tempat di mana Tuan Puteri Kembang Bunga telah sampai dengan menaiki jong kecil bersama pengikutnya. Berikutnya ialah latar tempat di Kuala Lama iaitu tempat perlabuhan Tuan Puteri Kembang Bunga di negeri Pattani.

Di samping itu juga, latar tempat yang lain ialah di Kuala Nama iaitu tempat di mana Tuan Puteri Kembang Bunga membunuh diri di dalam jong kecil kerana berasa susah hati apabila ramai anak raja yang suka kepadanya. Latar tempat yang lain ialah di negeri Reman iaitu raja negeri Reman telah menghalau putera baginda yang bernama Long Jaafar dalam negeri itu kerana tidak bagi Long Jaafar tinggal dengan baginda.


7.2 LATAR MASA
Latar masa yang terdapat dalam Hikayat Seri Kelantan ini ialah zaman dahulukala iaitu diceritakan  pada zaman dahulu terdapat seorang raja perempuan yang memerintah negeri Kelantan yang terlalu besar kerajaannya iaitu Encik Siti. Latar masa yang berikutnya ialah empat puluh hari empat puluh malam iaitu tarikh yang ditetapkan oleh Encik Siti untuk mengahwinkan Raja Abdullah dengan Tuan Puteri Sa’dung. Seterusnya ialah latar masa hari esok iaitu utusan dari negeri Siam bermuafakat untuk menyerang Kota Jelasin pada hari esok setelah dihalau oleh Sultan Abdullah kerana raja Siam ingin mengambil Tuan Puteri Sa’dung. Latar masa yang berikutnya ialah waktu malam iaitu sewaktu Kota Parit, istana dan rakyat Tuan Puteri Sa’dung telah ghaib ke dalam hutan iaitu Cerang Bahana pada waktu malam.

Di samping itu, latar masa yang lain ialah  beberapa hari yang lalu iaitu setelah Tuan Puteri Sa’dung menyembur serampah sirih ke dada raja Siam beberapa hari yang lalu ianya telah menyebabkan raja Siam mendapat penyakit kayap yang teramat sakit. Latar masa yang lain ialah tujuh hari iaitu semasa Tuan Puteri Sa’dung sampai ke Bukit Marak, baginda tinggal di sana selama tujuh hari lalu seorang Islam dari negeri Siam yang menghantar baginda pulang ke Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung telah jatuh sakit dan meninggal dunia di situ. Selain itu, latar masa yang berikutnya ialah pada satu hari iaitu raja negeri Reman sangat marah kepada putera baginda lalu menghalau putera baginda yang bernama Long Jaafar keluar dari negeri Reman kerana tidak mahu tinggal bersamanya.


7.3 LATAR MASYARAKAT
Latar masyarakat yang terdapat dalam Hikayat Seri Kelantan ini ialah masyarakat istana iaitu Encik Siti merupakan masyarakat dalam golongan istana kerana baginda ialah raja perempuan atau pemerintah bagi negeri Kelantan. Di samping itu juga, Tuan Puteri Sa’dung dan Sultan Abdullah juga merupakan masyarakat dalam golongan istana di Kota Jelasin yang memerintah di negeri tersebut. Selain itu, raja Siam pula merupakan masyarakat dalam golongan istana di negeri Siam yang menjadi pemerintah di negeri tersebut.
Latar masyarakat yang seterusnya ialah masyarakat yang bekerjasama. Hal ini dapat digambarkan apabila Sultan Abdullah berbincang dengan para pengikutnya untuk membina sebuah istana yang lain apabila sudah berkahwin dengan Tuan Puteri Sa’dung atas perintah Encik Siti. Apabila telah bermuafakat dalam mesyuarat, semua rakyat telah bekerjasama dalam mendirikan istana untuk diduduki oleh Tuan Puteri Sa’dung bersama dengan Sultan Abdullah lalu diberi nama sebagai Kota Jelasin.

Di samping itu, latar masyarakat yang lain ialah masyarakat yang setia. Hal ini dapat digambarkan pada watak Tuan Puteri Sa’dung. Walaupun baginda telah dibawa ke negeri Siam kerana raja Siam sangat menginginkan baginda, namun baginda tetap setia terhadap Sultan Abdullah kerana baginda gagal disetubuhi oleh raja Siam malah telah mengakibatkan raja Siam mendapat penyakit kayap yang sangat teruk setelah disembur serampah sirih ke dada baginda oleh Tuan Puteri Sa’dung. Akhirnya,, Tuan Puteri Sa’dung telah dihantar pulang oleh pengikut raja Siam yang beragama Islam pulang ke tempat asalnya.

Selain itu juga, latar masyarakat yang seterusnya ialah masyarakat yang penyayang. Di sini digambarkan dalam watak Encik Siti iaitu raja perempuan yang memerintah negeri Kelantan yang besar kerajaannya. Encik Siti tidak pernah berkahwin dan baginda telah mengambil anak angkat dari negeri Jembal yang merupakan anak raja di situ. Nama anak raja itu ialah Tuan Puteri Sa’dung. Baginda telah memelihara Tuan Puteri Sa’dung dengan sepenuh kasih sayang sehingga Tuan Puteri Sa’dung meningkat dewasa. Malah, baginda juga telah mencarikan suami untuk Tuan Puteri Sa’dung.
Latar masyarakat yang berikutnya ialah masyarakat yang kejam dan terburu-buru dalam melakukan sesuatu. Contohnya kita dapat lihat pada watak Sultan Abdullah yang telah terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara iaitu baginda telah memancung leher Tuan Puteri Sa’dung ketika berlaku pertelingkahan antara mereka kerana baginda tidak mahu berpindah ke tempat lain bersama dengan isteri kedua baginda. Hal ini dapat dilihat betapa kejamnya Sultan Abdullah terhadap isteri baginda yang pertama iaitu Tuan Puteri Sa’dung tanpa berfikir terlebih dahulu.

Seterusnya ialah, latar masyarakat yang pendendam. Kita dapat lihat pada watak Tuan Puteri Sa’dung yang telah berdendam dengan Sultan Abdullah kerana baginda telah memancung leher Tuan Puteri Sa’dung. Apabila Tuan Puteri Sa’dung telah kembali pulih seperti sedia kala atas bantuan pengikutnya, baginda telah bersemuka dengan Sultan Abdullah untuk membalas dendam atas perbuatannya terhadap baginda. Tuan Puteri Sa’dung telah memenggal leher Sultan Abdullah setelah baginda berhenti melarikan diri daripada Tuan Puteri Sa’dung.

Selain itu, latar masyarakat yang berikutnya ialah masyarakat yang percaya kepada amalan masyarakat yang lama. Raja-raja dahulu percaya kepada ramalan ahli nujum. Contohnya, Raja Siam yang mempercayai ramalan ahli nujum dan menyuruhnya mencari Tuan Puteri Sa’dung yang telah ghaib bersama dengan istana dan rakyatnya. Ahli nujum yang bernama Tuk Ca telah menjumpai tempat Tuan Puteri Sa’dung dan membawa baginda ke negeri Siam kerana rakyat negeri Tuan Puteri Sa’dung telah diturun bala kelapan sehingga tidak mampu untuk berperang dengan rakyat Siam.
8.0 GAYA BAHASA

Dalam Kesusasteraan Melayu, bahasa menjadi alat yang penting sebagai pengantar emosi untuk menimbulkan kesan atau efek daripada emosi itu. Pengarang yang kreatif akan cuba menggunakan bahasa seluas mungkin, iaitu bidang sintaksis atau ayat, pemilihan diksi atau kata ungkapan khusus dan penggunaan bahasa kiasan atau majaz. Dalam konteks Kesusasteraan Melayu, gaya bahasa ialah ilmu bahasa atau ilmu gaya yang mengkaji dan menyelidik tentang gaya bahasa sastera. Keris Mas (1900:8) menyatakan bahawa gaya bahasa tidak lain daripada kajian gaya yang mengkaji segala kemungkinan gaya kesusasteraan untuk menilai dan mendapat kefahaman sebenar tentang sesebuah teks kesusasteraan.
           
Gaya bahasa yang pertama yang terdapat dalam Hikayat Seri Kelantan. ialah gaya bahasa asing iaitu Bahasa Arab. Bahasa Arab yang digunakan oleh pengarang adalah bagi menggambarkan masyarakat tersebut mengamalkan agama Islam dalam kehidupan seharian mereka. Terdapat penggunaan gaya bahasa Arab yang dapat dilihat dalam hikayat ini yang digunakan dengan banyaknya. Contohnya ialah
Bismillahirrahmanirrahim wabihi nasta ‘inu billahi Taala. (Halaman 115)
Rahmatullah (Halaman 134)
Qalu inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. (Halaman 142)

Gaya bahasa yang kedua yang terdapat dalam Hikayat Seri Kelantan ialah gaya bahasa diksi. Kata-kata atau diksi yang dipilih juga adalah puitis di mana ertinya mempunyai efek keindahan dan ianya berbeza daripada kata-kata atau diksi yang tidak mempunyai paksi dalam kehidupan sehari-hari. Pengarang selalu menggunakan kata seperti ‘maka’, ‘alkisah’, ‘sebermula’, ‘hatta’, ‘adapun’ dan ‘tersebut’ di awal ayat. Contohnya dapat dilihat pada
            Maka tatkala sempurnalah kahwin itu, lalu Encik Siti pun angkat Raja Abdullah itu menjadi Sultan Abdullah serta diberi perintahlah negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung itu. (Halaman 117)
            Hatta, maka tiada berapa lama lalu sampailah ke dalam cerang besar itu lalu berjumpalah dengan mahligai Tuan Puteri Sa’dung itu di tengah cerang besar itu. (Halaman 121)

Gaya bahasa yang ketiga yang terdapat dalam Hikayat Seri Kelantan ialah gaya bahasa inversi. Inversi merujuk kepada gaya bahasa yang menyimpang daripada kebiasaan atau dengan kata lain gaya bahasa yang terbalik. Buktinya dapat dilihat pada
Esok harilah kita langgar Kota Jelasin itu kerana hari pun sudah malam.” (Halaman 119)
Ayat ini sepatutnya hari esoklah kita langgar Kota Jelasin itu kerana hari pun sudah malam.

Gaya bahasa yang keempat yang terdapat dalam Hikayat Seri Kelantan ialah gaya bahasa kata ganda. Kata ganda juga tergolong dalam salah satu kategori gaya bahasa yang lazimnya digunakan oleh pengarang dalam sesebuah karya kreatif. Dalam hikayat ini kita dapat melihat pelbagai jenis kata ganda yang telah digunakan oleh pengarang mengikut kesesuaian ayat yang dibina. Antara contoh kata ganda yang digunakan dalam hikayat ini ialah
Maka tatkala cukuplah hari, sampai ketika yang baik itu, maka dikahwinlah Raja Abdullah itu dengan Tuan Puteri Sa’dung itu, betapa adat raja-raja yang besar-besar pada masa itu. (Halaman 117)

Gaya bahasa yang kelima yang terdapat dalam Hikayat Seri Kelantan ialah gaya bahasa repitasi. Repitasi bermaksud unsur pengulangan perkataan dalam baris yang sama. Lazimnya pengulangan ini berlaku bertujuan untuk memberi penekanan kepada mesej yang hendak disampaikan. Antara contoh repitasi dalam hikayat ini ialah
            Maka dipelihara berapa lama, makin sehari makin pula elok parasnya, tiada dibandingkan pada masa itu lagi. (Halaman 117)

Gaya bahasa yang keenam yang terdapat dalam Hikayat Seri Kelantan ialah gaya bahasa yang menggunakan ayat pendek. Contoh penggunaan ayat pendek yang terdapat dalam hikayat ini ialah
            Maka malam pun cerah. (Halaman 120)
            Maka berfikirlah pula. (Halaman 123)

Gaya bahasa yang ketujuh yang terdapat dalam Hikayat Seri Kelantan ialah gaya bahasa simpulan bahasa. Simpulan bahasa bermaksud ungkapan yang biasanya terdiri daripada dua atau tiga perkataan dan mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada makna asal perkataan tersebut. Buktinya dapat dilihat pada baris ayat
Maka lalu Sultan Abdullah pun berkatalah kepada isterinya itu, ”Ya adindaku tuan, buah hati cahaya mata kakanda, baiklah adinda pergi dahulu menurut kehendak raja Siam itu, kerana jikalau kita bertahan sebagaimana pun tiadalah tahan. (Halaman 122)
Gaya bahasa yang kelapan yang terdapat dalam Hikayat Seri Kelantan ialah gaya bahasa metafora. Metafora ialah satu bentuk bunga bahasa seperti kiasan, bidalan dan perumpamaan atau kiasan langsung, ertinya benda yang dikiaskan itu tidak disebutkan. Ia juga membandingkan dengan sesuatu. Contohnya dapat dilihat pada baris ayat
Jikalau ditolong oleh Tuhan kita, nescaya lepas surat kejahatan  di atas tubuh adinda ini.”(Halaman 123)
           
Gaya bahasa yang kesembilan yang terdapat dalam Hikayat Seri Kelantan ialah gaya bahasa anafora. Gaya bahasa anafora adalah perulangan pada awal baris. Contoh perulangan anafora adalah seperti berikut
Maka Tuan Puteri Sa’dung itu tiada mahu. Maka tiada pakai oleh raja Siam. Maka raja Siam pun hendak penggang lagi, lalu disembur oleh Tuan Puteri Sa’dung dengan serampah pinangnya, lalu kenalah dada raja Siam itu. (Halaman 124)

Gaya bahasa yang kesepuluh yang terdapat dalam Hikayat Seri Kelantan ialah gaya bahasa simile iaitu perbandingan yang menggunakan kata seperti umpama, laksana, bak dan bagai. Contoh ini dapat dilihat pada
Maka di dalam berkata-kata itu muka Tuan Puteri Sa’dung merah seperti bunga raya kerana sangatlah marahnya seperti ular mengeluarkan bisanya, sambil dipegang hulu pedang. (Halaman 130)

Gaya bahasa yang kesebelas yang terdapat dalam Hikayat Seri Kelantan ialah gaya bahasa perlambangan. Di dalam perlambangan sesuatu perkara diganti atau dilambangkan dengan hal yang lain. Contoh ini dapat dilihat pada
 Maka di dalam berkata-kata itu muka Tuan Puteri Sa’dung merah seperti bunga raya kerana sangatlah marahnya seperti ular mengeluarkan bisanya, sambil dipegang hulu pedang. (Halaman 130)
Penggunaan perkatan ’bunga raya’ melambangkan perasaan yang sedang marah.

Gaya bahasa yang kedua belas dalam hikayat ini ialah gaya bahasa personifikasi. Gaya bahasa personifikasi ialah memberi kata kerja orang kepada sesuatu bukan orang; mengorangkan yang bukan orang atau dikenali juga sebagai keadaan. Contohnya ialah,
Maka gajah kenaikan Tuan Puteri Sa’dung langsung naik ke atas Bukit Marak itu selalu dan gajah inang yang busu itu naik ditambat di pinggang Bukit Marak itu. (Halaman 132)

Gaya bahasa yang ketiga belas ialah penggunaan Dialek yang digunakan oleh pengarang untuk menggambarkan asal usul seseorang watak. Contohnya dapat dilhat pada penggunaan dialek Kelantan yang terdapat dalam hikayat ini
Maka lalu orang pun beroyat. (halaman 139)
9.0 NILAI
Nilai merupakan sifat yang terpuji yang wujud dalam setiap diri individu. Nilai terbahagi kepada dua kategori iaitu nilai yang positif dan nilai negatif. Walau bagaimanapun, hanya nilai positif yang harus dijadikan sebagai panduan untuk diterapkan dalam kehidupan masyarakat manakala nilai negatif harus dihindari. Melihat kepada “Hikayat Seri Kelantan” yang diselenggara oleh Mohd Taib Hassan ia menyelitkan banyak unsur nilai positif yang boleh dijadikan panduan oleh masyarakat amnya dan khususnya para pelajar yang mempelajari mata pelajaran Kesusasteraan Melayu.

Terdapat pelbagai unsur nilai yang diterapkan dalam “Hikayat Seri Kelantan”. Antaranya adalah nilai kasih sayang. Nilai kasih sayang ini merupakan perasaan sayang yang wujud dalam diri seseorang individu terhadap seseorang yang dihormatinya. Nilai kasih sayang ini diterapkan melalui watak Puteri Sa’dung dan Raja Abdullah yang saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Nilai kasih sayang ini juga dilihat melalui watak Raja Abdullah yang begitu menyayangi isterinya. Hal ini dapat dilihat melalui petikan berikut,
Maka sultan Abdullah pun sangatlah marahnya kerana Tuan Puteri Sa’dung itu isterinya. Maka lalu Sultan Abdullah pun berkata, “ Aku tiada maun beri kepada rajamu itu kerana Tuan Puteri Sa’dung itu isteri aku”.

Di samping itu, nilai taat juga merupakan salah satu nilai positif yang diterapkan dalam “Hikayat Seri Kelantan”. taat merupakan suatu sikap yang amat mulia dan patut diterapkan dalam kehidupan seharian kita terutamanya taat kepada kedua ibu bapa dan pendidik. Nilai ketaatan ini turut diterapkan dalam “Hikayat Seri Kelantan” ini. Ketaatan ini dapat kita lihat melalui sikap ayah dan ibu kandung yang sanggup memberikan anaknya iaitu Puteri Sa’dung untuk dijadikan anak angkat oleh Encik Siti yang merupakan pemerintah di tempat tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui petikan berikut,
Maka ayahanda dan bonda pun tiada daya upayalah “ Tidak hendak diberipun kerana ia raja besar lagi pula memerintah negeri tiada patut kita tiada beri kepadanya.”

Selain itu, nilai kerjasama juga turut diketengahkan dalam  “Hikayat Seri Kelantan” ini. kerjasama merupakan satu sikap yang amat baik dan dapat mengukuhkan hubungan siltarruhaim dalam kalangan masyarakat. Nilai kerjasama ini dapat kita lihat melalui rakyat dibawah permerintahan Raja Abdullah yang sentiasa berkerjasama membantu raja Abdullah dan Puteri Sa’dung untuk menghalang serangan musuh daripada Siam terhadap tempat mereka. Nilai kerjasama ini dapat kita lihat melalui ungkapan berikut,
“Maka berjumpalah antara kedua belah pihak itu,.maka berperanglah keduanya itu masing-masing ketumbukan”

Adil juga merupakan antara nilai yang diterapkan dalam “Hikayat Seri Kelantan”. Adil merupakan layanan saksama yang diberikan kepada masyarakat atau seorang individu dengan individu yang lain tanpa berat sebelah. Nilai ini dapat kita lihat melalui watak-watak Puteri Sa’dung yang berlaku adil terhadap Raja Ibrahim dengan memberikan kuasa pemerintahan terhadap Kota Jasin yang sebelumnya diperintah oleh Sultan Abdullah. Puteri Sa’dung tetap berlaku adil walaupun Sultan Abdullah telah melakukan kesilapan kerana telah membunuh beliau sebelum Sultaan Abdullah mendapat balasan terhadap perbuatanya itu. Nilai adil yang diterapkan dalam watak Puteri Sa’dung ini dapat kita lihat melalui petikan berikut,
“Jikalau aku beri kepada orang lain boleh juga, tetapi takut jadi jahat, kakandanya aku bunuh adiknya tidak aku beri menjadi raja.”

Nilai kebijaksanaan juga turut diterapkan dalam “Hikayat Seri Kelantan”. seseorang itu hendaklah sentiasa berfikir secara bijaksana dalam usaha membuat sesuatu keputusan ataupun tindakan. Hal ini dapat dilihat dalam watak Tuan Puteri Kembang Bunga yang membuat keputusan untuk melarikan diri bagi mengelakkan dirinya ditangkap oleh Orang Cina Kafir. Nilai kebijaksanan ini dapat dilihat dengan jelas melalui ungkapan berikut,
“Jikalau aku duduk bertahan sebegini, tiada boleh, tentulah dapat kepada orang Cina Kafir itu, ditangkap dan ambil aku dibawah ke negerinya dan ayah dan bondaku pun tiada. Jikalau begitu terlebih baiklah aku ambil segala harta bendaku yang boleh aku bawah bersama-samaku lari pergi barang ke mana-mananya.”

Nilai tanggungjawab juga turut diketengahkan dalam “Hikayat Seri Kelantan”. tanggungjawab merupakan satu sifat seseorang individu yang amat baik ia harus diterapkan dalam kalangan masyarakat agar hubungan yang erat dan saling faham memahami dapat dilaksanakan dengan baik. Nilai berkaitan dengan tanggungjawab ini dapat kita lihat melalui watak Inang Busu dan Inang Tua. Atas dasar tanggungjawab mereka menghidupkan kembali Puteri Sa’dung yang telah mati dipancung oleh Sultan Abdullah dengan menggunakan jembul yang berisi air Mawar di dalam sanggul Puteri tersebut. Akhirnya, berkat dengan kesaktian tersebut Puteri Sa’dung dapat dihidupkan kembali. Nilai ini dapat dilihat dengan jelas apabila inang dayang pengasuh ini bermesyuarat tentang bagaimana untuk menghidupkan kembali Puteri Sa’dung melalui petikan tersebut,
Maka sekalian inang dayang pengasuh itu takut mendengar sabda Sultan Abdullah lalu inang pengasuh yang ramai-ramai duduk bermesyuarat sekalian.” (ms 128)

Oleh itu, melihat kepada cerita “Hikayat Seri Kelantan” ini terdapat pelbagai unsur nilai-nilai murni yang diterapkan untuk tatapan pembaca. Nilai-nilai murni ini dapat dijadikan panduan oleh pembaca amnya dan khususnya masyarakat untuk membantu melahirkan individu yang beretika dan mempunyai jati diri yang kukuh.











10.0 PENGAJARAN
Hikayat Seri Kelantan merupakan salah satu hikayat yang mengandungi pelbagai bentuk pengajaran. Pengajaran yang diterapkan dalam hikayat ini boleh dijadikan ikhtibar oleh para pelajar khususnya dan amnya masyarakat pembaca. Unsur pengajaran ini diolah dengan menarik dengan penerapan terhadap watak-watak yang memerlukan pelajar-pelajar  berfikir. Keadaan ini sedikit sebanyak melatih para pelajar khususnya untuk lebih memahami jalan cerita dan menjadikan setiap cerita dalam hikayat ini sebagi ikhtibar.

Antara unsur pengajaran yang diterapkan dalam hikayat seri kelantan ini ialah kita tidak seharusnya bertindak mengikut perasaan tanpa berfikir baik buruknya. Hal ini kerana tindakan yang terlalu mengikut perasaan kelak akan mendatangkan kemudaratan kepada diri kita sendiri. Misalnya melalui watak Raja Siam, akibat tindakan yang terlalu mengikut perasaan Raja Siam sanggup berperang dengan menyerang Kota Jasin untuk mendapatkan Puteri Sa’dung yang merupakan isteri kepada Sultan Abdullah. Akibat dari tindakan tersebut Raja Siam akhirnya menderita terkena penyakit teruk yang hanya akan sembuh setelah Puteri Sa’dung dihantar pulang ke tempat kediamannya.

Unsur pengajaran seterusnya yang diterapkan dalam “Hikayat Seri Kelantan” ialah kita hendaklah sentiasa bersikap adil dalam membuat sesuatu keputusan.  Sikap adil ini merupakan satu pertimbangan yang saksama dan sama rata dalam melahirkan setiap tindakan ataupun keputusan. Misalnya dalam “Hikayat Seri Kelantan”, sikap adil ini dapat dilihat melalui watak Puteri Sa’dung dalam membuat keputusan ketika Raja Ibrahim bertanyakan tentang Kota Jelasin yang tidak mempunyai raja setelah Sultan Abdullah mangkat. Atas rasa keadilan Puteri Sa’dung akhirnya melantik Raja Ibrahim sebagai penganti kakandanya Sultan Abdullah menjadi pemerintah di kawasan tersebut. Sikap ini haruslah dijadikan ikhtibar oleh masyarakat agar sentiasa berlaku adil dalam setiap perkara untuk mengekalkan keharmonian sejagat.

Di samping itu, pengajaran berkaitan dengan kita janganlah mengambil hak orang lain juga diketengahkan dalam “Hikayat Seri Kelantan” . Pengajaran ini diketengahkan secara halus melalui watak Raja Siam yang cuba merampas Puteri Sa’dung menjadi hak miliknya walhal dalam masa yang sama Puteri Sa’dung merupakan isteri kepada Sultan Abdullah. Sikap ini merupakan satu sikap negatif yang seharusnya dihindari oleh setiap lapisan masyarakat untuk mengelakkan berlakunya perbalahan dan menimbulkan semangat perkauman.

Selain itu, kita juga hendaklah sentiasa tolong-menolong antara satu dengan yang lain dalam melaksanakan sesuatu perkerjaan. Sikap tolong-menolong ini merupakan satu sikap murni yang harus diterapkan dalam kalangan masyarakat agar dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu dengan yang lain. Melalui “Hikayat Seri Kelantan”, sikap tolong menolong ini diterapkan dalam watak Inang Busu dan Inang Tua yang sangat bertanggungjawab terhadap Puteri Sa’dung. Sikap tanggungjawab mereka jelas dilihat sewaktu mereka berusaha untuk menghidupkan kembali Puteri Sa’dung yang telah dipenggal oleh Sultan Abdullah dengan menggunakan air mawar yang terdapat di dalam sanggul tuan puteri dan atas usaha mereka Puteri Sa’dung dapat dihidupkan kembali.
Kita juga hendaklah sentiasa berkerjasama antara satu dengan yang lain merupakan unsur pengajaran yang turut diterapkan dalam hikayat ini. Unsur kerjasama ini akan melahirkan sikap saling faham memahami antara satu dengan yang lain serta dapat mengeratkan tali silaturrahim. Sikap kerjasama ini juga dapat kita lihat melalui rakyat yang bernaung dibawah pemerintahan Sultan Abdullah dan Puteri Sa’dung, mereka saling berkerjasama membantu Sultan Abdullah terutamanya ketika serangan Siam untuk  mendapatkan Puteri Sa’dung atas perintah Raja Siam. Semangat kerjasama yang ditonjolkan dalam hikayat ini harus dijadikan panduan oleh masyarakat agar negara sentiasa dalam keadaan yang harmoni.

Oleh itu, Hikayat Seri Kelantan merupakan satu hikayat yang mempunyai banyak unsur pengajaran yang boleh dijadikan panduan oleh masyarakat. Hal ini diterapkan dalam watak-watak yang mendukung cerita hikayat ini agar pembaca khususnya dan amnya masyarakat mudah memahami setiap unsur pengajaran yang diterapkan.


           






11.0 KESIMPULAN
Secara kesimpulannya Hikayat Seri Kelantan ini menceritakan kisah seorang puteri yang memiliki pelbagai kesaktian dan tabah menghadapi pelbagai cabaran hidup. Puteri Sa’dung juga merupakan seorang puteri yang bijak dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Misalnya, semasa Puteri Sa’dung dalam tawanan Raja Siam dia menggunakan kesaktiannya bagi melepaskan diri daripada menjadi mangsa hawa nafsu Raja Siam sehingga Raja Siam terkena penyakit kayap. Puteri Sa’dung juga  merupakan seorang yang tabah terutamanya apabila dia berada dalam tawanan Raja Siam. Dia mempertahankan kehormatannya dan semasa dalam perjalanan pulang ke pangkuan suaminya, dia melalui pelbagai rintangan apabila pengiring-pengiringnya mati seorang demi seorang. Namun, dia tetap tabah meneruskan perjalanan sehingga sampai ke istana dan bertemu dengan Sultan Abdullah. Sikap yang ditunjukkan oleh Puteri Sa’dung ini haruslah menjadi contoh dan panduan kepada para pelajar dalam menghadapi cabaran hidup.
            Di samping itu juga, guru boleh menerapkan nilai-nilai murni melalui perwatakan yang dimainkan oleh watak-watak protagonis dalam Hikayat Seri Kelantan. Hal ini membantu untuk melahirkan seorang pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek sejajar dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Selain itu juga, para pelajar dapat mengetahui hikayat-hikayat lama yang menceritakan asal usul sesuatu tempat contohnya dalam Hikayat Seri Kelantan yang memaparkan asal usul nama negeri Kelantan. Hal ini bertepatan dengan gagasan Satu Malaysia yang mempupuk perpaduan dan kesefahaman di antara pelbagai kaum di Malaysia khususnya dalam kalangan pelajar.

            Oleh itu, cerita-cerita hikayat seperti Hikayat Seri Kelantan sesuai dijadikan sebagai salah satu kajian dalam Antologi Teks Kesusasteraan Melayu Tradisional. Hal ini kerana ia memberikan pendedahan mengenai sesuatu peristiwa yang berlaku pada masa dahulu. Cerita hikayat ini seharusnya dimartabatkan semula untuk dijadikan panduan dan iktibar kepada masyarakat.

 BIBLIOGRAFI
Maniyamin Haji Ibrahim ( 2006 ). Gaya Bahasa Kiasan. Selangor Darul Ehsan.
Karisma Publications Sdn. Bhd.


   

                      


No comments:

Post a Comment