Teknik Menjawab Persoalan
Salah satu kelemahan calon ialah menjawab soalan tentang persoalan
karya. Misalnya, persoalan dalam novel, cerpen atau drama. Salah satu
kesilapan utama calon ialah menjawab persoalan sebagai nilai murni atau
nilai kemanusiaan. Bagaimanakah contoh kesilapan yang lazim?
Kita lihat
contoh di bawah.
Terdapat persoalan kasih sayang dalam novel ini. (Diikuti contoh)
Persoalan ketabahan dipaparkan dalam cerpen. (Diikuti contoh)
Pengarang memaparkan persoalan sikap prihatin dalam drama ini. (Diikuti contoh)
Ada juga, persoalan kebijaksanaan dalam cerita ini. (Diikuti contoh)
Kesemua jawaban di atas adalah salah.
Sebabnya, nilai kasih sayang,
nilai kerajinan, nilai prihatin dan nilai kebijaksanaan yang dinyatakan.
Nilai bukannya persoalan.
Sepatutnya, persoalan lebih jelas dan
berbentuk frasa.
Contohnya:
Terdapat persoalan kasih sayang antara anak dan ibu bapa dalam novel ini. (Diikuti contoh)
Persoalan ketabahan menghadapi cabaran hidup dipaparkan dalam cerpen. (Diikuti contoh)
Pengarang memaparkan persoalan sikap prihatin guru terhadap muridnya. (Diikuti contoh)
Ada juga, persoalan kebijaksaaan mengalahkan musuh dalam cerita ini. (Diikuti contoh)
Selain itu, contoh-contoh persoalan berikut juga adalah salah walaupun
ungkapan itu bukan nilai. Sebabnya, ungkapan itu hanya satu perkataan
sahaja. Persoalan haruslah menyatakan isu dalam karya secara tepat
sebagaimana yang ingin disampaikan melalui karya tersebut.
Lihat contoh :
Persoalan fitnah terdapat dalam cerpen ini. (Diikuti contoh)
Ada juga persoalan kemiskinan. (Diikuti contoh)
Terdapat persoalan geran tanah dalam novel. (Diikuti contoh)
Persoalan adat turut dipaparkan. (Diikuti contoh)
Turut dipaparkan persoalan kedamaian. (Diikuti contoh)
Sewajarnya, begini yang diujarkan oleh pelajar :
Persoalan fitnah terhadap janda terdapat dalam cerpen ini. (Diikuti contoh)
Ada juga persoalan kemiskinan masyarakat luar bandar. (Diikuti contoh)
Terdapat persoalan penipuan mendapatkan geran tanah dalam novel. (Diikuti contoh)
Persoalan sikap generasi tua yang mementingkan adat turut dipaparkan. (Diikuti contoh)
Turut dipaparkan persoalan inisiatif bagi mewujudkan kedamaian. (Diikuti contoh)
Ada pelajar yang menjawab seperti berikut :
1. Persoalan seorang anak yang insaf menderhaka kepada ibu bapa.
2. Persoalan seorang ibu tunggal yang gigih menyara hidup keluarga.
3. Persoalan rakyat yang patuh kepada raja.
4. Persoalan masyarakat yang bertindak melanggar undang-undang.
5. Persoalan mat rempit yang mengganggu ketenteraman.
Apakah kesilapan yang dilakukan? Ya, perkataan seorang. atau ganti nama. Kata
seorang atau ganti nama itu kita gunakan apabila menghuraikan
perwatakan watak. Persoalan bukan watak. Persoalan merujuk isu yang
diutarakan dalam karya.
Maka, isu yang perlu dinyatakan dahulu.
Oleh
itu, pelajar seharusnya menulis seperti berikut :
1. Persoalan keinsafan anak yang derhaka terhadap ibu bapa.
2. Persoalan kegigihan ibu tunggal menyara keluarga.
3. Persoalan ketaatan rakyat kepada raja.
4. Persoalan tindakan yang melanggar undang-undang.
5. Persoalan masalah mat rempit yang mengganggu ketenteraman.
Kata kerja juga bukan menggambarkan isu atau persoalan tetapi kata nama.
Bagaimanapun, adakalanya ada kata kerja juga boleh berdiri sebagai kata
nama. Contohnya : cinta. Persoalan cinta akan tanah air diterima kerana
dalam bahasa Melayu normatif, jarang kita tulis kecintaan akan tanah
air. Begitu juga, dalam bahasa Melayu normatif, jarang kita temukan
persoalan penepatian janji, maka frasa persoalan menepati janji
diterima. Berikut ialah contoh-contoh lazim yang boleh menjadi panduan
pelajar.
1. Persoalan menghormati tetamu. (kurang tepat)
Persoalan amalan menghormati tetamu.(tepat)
2. Persoalan berjudi dalam masyarakat (kurang tepat)
Persoalan perjudian /aktiviti judi dalam masyarakat (tepat)
3. Persoalan menzalimi orang miskin. (kurang tepat)
Persoalan kezaliman terhadap orang miskin. (tepat)
Terbaik..terima kasih atas ilmu yang diberikan.
ReplyDeleteTerima kasih kerana saya dapat belajar sesuatu
ReplyDelete